Kerjaya muzik Ziana Zain

1990–1992: Permulaan kerjaya dan Madah Berhelah

Ziana menyertai BMG Music pada tahun 1990 secara kebetulan. Album pertamanya, Madah Berhelah merupakan buah tangan pertamanya untuk peminat. Lagu "Madah berhelah" akhirnya telah memikat peminat muzik sekaligus melonjakkan kerjaya Ziana sebagai penyanyi. Lagu tersebut juga telah menjadi juara hampir keseluruhan stesen radio di Malaysia. Namun langit tidak selalunya cerah, di saat nama Ziana mula meniti populariti, terdapat segelintir pihak yang ragu akan kebolehan gadis muda ini. Ramai yang mengatakan Ziana bukannya menyanyi tetapi menjerit malah ada yang mengatakan Ziana tiada identiti apabila suaranya dikatakan mirip kepada penyanyi Juliza Adzlizan. Kulit album pertama beliau juga dikatakan menyerupai kulit album penyanyi terkenal masa itu, Sheila Majid. Namun Ziana tabah menghadapi semua dugaan tersebut memandangkan beliau masih baru di dalam industri tersebut. Berkat kesabaran beliau, dua lagi lagu dalam album tersebut, "Sebelum Terlewat Waktu" dan "Riwayat Cinta" berjaya menawan carta muzik seluruh Malaysia. Malah lebih membanggakan Ziana lagi apabila lagu "Madah berhelah" berjaya melepasi peringkat akhir Anugerah Juara Lagu. Selain daripada itu, album tersebut juga telah berjaya terjual sebanyak 40,000 unit dan diberi pengiktirafan pingat emas oleh RIM. Ini sekaligus meletakkan Ziana sebagi artis baru paling berjaya ketika itu.[14][15]

1993–1995: Kejayaan awal

Pada tahun 1993, Ziana diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menghasilkan album. Album yang menggunakan namanya sendiri, Ziana Zain ditangani lebih kemas oleh komposer terkenal dan berbakat besar bernama Zuriani. Album tersebut menalpilkan banyak lagu popular seperti "Kasih Ku Pertahankan", "Anggapanmu" dan "Putus Terpaksa". Album tersebut juga julung-julung kalinya menampilkan satu lagu popular Jepun yang dinyanyikan semula Ziana berjudul Chitose Bashi. Selain itu, album itu juga mengandungi sebuah lagu Rom yang dialih bahasa berjudul Hadirmu yang dinyanyikan Ziana bersama seorang pendatang baru, Izzaka. Kejayaan demi kejayaan Ziana raih untuk album kedua beliau sehinggakan album tersebut terjual lebih 60,000 unit. Satu pencapaian yang sangat membanggakan. Pada penghujung tahun 1994, Ziana berjaya mengadakan konsert live pertamanya berjudul Konsert Mega Rahim Maarof & Ziana Zain bersama penyanyi lelaki popular Rahim Maarof di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Tanpa menunggu lama, pada tahun 1995 Ziana sekali lagi mengeluarkan album ketiganya berjudul Setia Ku Di Sini. Album ini telah terjual lebih 180,000 unit sekaligus menjulang karier Ziana ke puncak. Album ini bukan sahaja telah terjual di Malaysia, tetapi telah berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia. Album yang menampilkan banyak lagu hit seperti "Setia Ku Di Sini, "Bersama Akhirnya", "Kemelut Di Muara Kasih", dan "Sangkar Cinta" ini telah mengangkat Ziana sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) di dalam Anugerah Industri Muzik 1996. Malah pihak RIM juga telah memberikan 3x platinum untuk jualan yang membanggakan itu.[13][14][16] Lebih manis lagi, banyak lagu dalam album tersebut berjaya memasuki Anugerah Juara Lagu dan lagu Kemelut di Muara Kasih' berjaya sampai keperingkat akhir pertandingan tersebut.[15][17] Lagu Bersama Jua Akhirnya pula telah memenangi persembahan terbaik (solo) dalam pertandingan Nescafe Pujaan 10. Selain itu Ziana juga telah diangkat menjadi Artis Paling Popular di dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Malah beliau juga telah memenangi dua kategori lain dalam anugerah tersebut iaitu pelakon pembantu wanita popular dan penghibur TV popular.

1996–1998: Konsert Unplugged, Puncak Kasih dan kemenangan anugerah

Pada tahun 1996, Ziana telah melancarkan konsert solonya yang pertama. Konsert yang diberi nama Ziana Zain's Unplugged Konsert diadakan di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Kira-kira 2,500 peminatnya telah membanjiri lokasi yang kini digelar KL Live itu untuk melihat diva ini beraksi.[18] Dalam konsert ini juga, Ziana turut mengundang seniman tersohor Indonesia, Broery Marantika untuk menyanyikan satu lagu duet yang berjudul "Dekat Tapi Jauh". Disebabkan sambutan yang luar biasa, konsert itu juga telah diabadikan di dalam bentuk album yang menggunakan tajuk yang sama. Ledih membanggakan, album tersebut telah terjual lebih 80,000 unit dan diberikan 2x platinum oleh RIM.[17][18] Malah Ziana juga melah memenangi anugerah Persembahan Solo Terbaik di dalam pertandinagn Pujaan 10 Nescafe menerusi album tersebut. Lagu Korban Cinta, salah satu lagu dalam album tersebut, telah dipilih sebagai Lagu Paling Popular dalam Anugerah Musik Singapura 1996. Ziana juga telah dianugerahkan Bintang Perkhidmatan Cemerlang oleh Sultan Selangor pada tahun tersebut.

Kejayaan Ziana tidak terhenti disitu, pada 28 Mei 1997, Ziana Zain mengeluarkan album keempat beliau. Album yang berjudul Puncak Kasih mendapat sentuhan ramai komposer popular dan telah terjual lebih 150,000 unit seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.[13][18] Selain itu, Ziana sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi artis pertama yang melancarkan album di dalam kapal pelayaran mewah. Sebahagian peminat bertuah dan wartawan hiburan telah diundang untuk bersama-sama meraikan majlis yang penuh gilang-gemilang itu. Album ini juga telah mencatatkan banyak kenangan manis seperti telah dipilih sebagai album terbaik di dalam Anugerah Industri Muzik 1998, Lagu Puncak Kasih pula telah menduduki tangga #1 di carta Muzik Muzik selama lebih 15 minggu, sekaligus menjadi lagu paling lama bertahan di kedudukan teratas carta.[19] Malah lagu tersebut juga telah dipilih sebagai Juara lagu kategori balada dalam Anugerah Juara Lagu 1998, dan muzik video Puncak Kasih telah memenangi Muzik video terbaik dalam Anugerah Video Muzik Malaysia. Pada tahun tersebut juga, Ziana telah melancarkan konsert bergeraknya yand di beri nama Ziana Zain Mega Tour Concert ke seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Konsert yang mendapat tajaan jenama Salem dan Peter Stuyvesant ini mendapat sambutan yang menakjubkan. Malah tiket-tiket konsert juga sudah habis terjual tiga minggu sebelum konsert bermula.

1999-2004: Album kelima, keluarga dan cahaya mata

Pada 9 Mac 1999, setahun selepas perkahwinannya, Ziana kembali menghangatkan arena seni negara dengan kehadiran album solo kelimanya. Album yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul memuatkan 10 lagu dari pelbagai komposer terkenal Malaysia. Antara lagu yang popular di dalam album tersebut antaranya "Syurga di Hati Kita", "Kesuma Hati", "Ada Suara Ada Cinta" dan "Penawar Semalu". Lagu "Syurga di Hati Kita" pula telah terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1999. Untuk mepromosikan album kelimanya ini, Ziana telah mengadakan konsert yang mendapat tajaan Head and Shoulders. Konsert yang diberi nama,Konsert Zon Pelindungan Ziana Zain ini, telah diadakan di PWTC Angkasapuri. Peminat yang bertuah telah diberi penghormatan untuk mendapat autograf dan bergambar secara ekskusif bersama Ziana Zain. Dalam konsert tersebut, Ziana telah menyampaikan 10 lagu dan sebahagian besarnya dipetik dari album terbarunya.

Tahun 2000 menyaksikan Ziana berehat seketika dari arena seni suara apabila melahirkan cahaya mata yang pertama. Namun pada tahun 2001, Ziana kembali dengan album solo keenamnya berjudul Aku Cintakan Mu. Album ini telah terjual lebih 45,000 unit[14], satu jualan yang dikira sangat memberangsangkan tatkala dunia menghadapi krisis ekonomi. Lagu Menadah Gerimis, salah satu lagu dalam album Aku Cintakan Mu, telah menerima pencalonan lagu terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2002, anugerah yang menggabungkan negara-negara Asia tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Malah lagu tersebut juga telah menjadi Juara bagi kategori Balada dalam Anugerah Juara Lagu 2002. Selain itu juga, Lagu tersebut telah menduduki tempat pertama dalam carta Muzik-Muzik selama 15 minggu. Pada tahun ini juga, Ziana sekali lagi telah melancarkan konsertnya yang diberi nama Ziana Zain...In The Park Concert, Yang diadakan selama dua hari di PWTC. Ramai selebriti terkenal tanah air seperti Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Sheila Majid, dan Nora telah hadir untuk memberikan sokongan. Lebih manis lagi, konsert ini juga telah dibawa ke Jerudong Park Amphitheatre, Brunei. Peminat-peminat Ziana Zain di Brunei terpukau dengan keunggulan vokal Ziana yang mengalunkan 22 buah lagu secara langsung.

Pada tahun 2003, Ziana telah mengeluarkan sebuah album live yang menghimpunkan persembahan-persembahan hebat beliau sewaktu menjayakan konsert. Antara persembahan yang diabadikan dalam album ini adalah persembahan dari Ziana Zain...In the Park Concert dan Ziana Zain Unplugged Concert, Brunei. Album yang menggunakan judul Ziana Zain No1s Live ini juga menampilkan 2 buah lagu baru iaitu lagu "Bukan" dan "Lembah Asmara". Lagu bukan merupakan lagu pertama ciptaan Ziana bersama Greg Henderson. Kedua - dua lagu ini telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila telah berjaya memenangi lagu pop pilihan di dalam Anugerah Era 2003 dan Anugerah Era 2004. Malah lagu bukan juga telah menjadi juara carta Muzik-muzik selama 17 minggu dan lagu Lembah Asmara pula telah menjadi Juara di Stesen Radio Singapura untuk beberapa minggu. Selain itu, Lagu-lagu ini juga telah berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhri Anugerah Juara Lagu pada tahun tersebut. Album ini telah diterbitkan dibawah syarikat rakaman Ziana yang baru iaitu EMI.

Pada tahun yang sama juga, Syarikat rakaman terdahulu Ziana, BMG juga telah mengeluarkan album kompilasi Ziana Zain berjudul Ratu - Satu Penghargaan sebagai penghargaan buat Ziana di atas kejayaannya selama 12 tahun berada dalam industri ini di bawah BMG.

2005–2007: Berehat dari aktiviti seni

Setelah menghasilkan beberapa album, Ziana mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia seni. Ini kerana pada waktu itu juga Ziana tengah sarat mengandung anak kedua. Oleh itu, beliau tidak mahu kandungannya mengalami masalah memandangkan beliau pernah keguguran sebelum ini. Dalam pada mengurangkan aktiviti seni, Ziana sempat juga merakamkan sebuah lagu tema filem Sembilu 2005 berjudul "Sembilu Kasih". Syarikat rakaman BMG juga turut mengeluarkan album kompilasi CD dan VCD karaoke Ziana yang berjudul Keunggulan Ziana Zain.

2008–2009: Single Terbaru dan kembar

Ziana Zain menyanyikan lagunya, "Dingin" di persembahan akhir Anugerah Juara Lagu ke-23

Pada tahun 2008, Ziana akhirnya kembali merakam sebuah album mini yang berjudul Dingin. Walaupun hanya memuatkan empat lagu, namun single utamanya "Dingin" disambut hangat lalu dicalonkan untuk anugerah Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-16.[20]

Pada 18 Oktober 2008, Ziana dijemput sebagai VIP ke pertunjukan fesyen Fendi yang diadakan di Tembok Besar China.[21]

Pada Februari 2009, disahkan bahawa Ziana mengandung bayi kembar.[22][23] Beliau melahirkan kembar lelaki dan perempuan pada 23 Julai 2009 di Shah Alam.[24]

2010–2013: Kemunculan semula, Mentor 4 dan penglibatan teater

Ziana Zain mengadakan persembahan di AJL23

Pada Januari 2010, selepas enam bulan hilang, akhirnya Ziana kembali kepada umum sebagai tetamu kejutan dalam perhimpunan tahunan kedua Murai.com untuk meraikan pelancaran segmen fesyen baru, Stailista, dalam portal web.[25] Dalam keadaan itu, Ziana menyatakan bahawa dia akan mengeluarkan dua single baru dari album tanpa tajuk yang akan datang beliau. Single, "Pawana" dan "Dirimu Satu", dijangka akan dikeluarkan pada Jun 2010.[26]

Pada 26 - 28 Februari 2010, Ziana telah terlibat dengan pembikinan pementasan muzikal Antara. Teater yang berkisar mengenai perjalan hidup Nabi Adam AS dan Hawa itu telah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya. Dalam pementasan tersebut, Ziana telah menyanyikan 3 buah lagu iaitu "Tahajjud Cinta", "Andai Ku Tahu", dan "Pintu Rindu". Ziana muncul mempersonakan dengan busana rekaan Rizman Ruzaini. Malah alas kepala seakan serban yang digayakan Ziana ketika pementasan itu berlangsung terus menjadi hangat malah pereka fesyen terkenal tersebut turut menggelerkannya "Turban Ziana".[27]

Pada 9 Mac 2010 di Hotel Cititel, Ziana Zain telah mengadakan sidang khas memperkenalkan anak kembarnya yang diberi nama Siti Nour Kaseh dan Muhammad Ariel. Pendedahan itu sekaligus menamatkan penantian selama lebih kurang 8 bulan oleh pihak wartawan dan media.[28]

Pada 12 - 22 Mac 2010, Ziana sekali lagi terlibat dalam pementasan teater muzikal Gamat 2 ini di pentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).[29] Kali ini Ziana bakal bergandingan dengan 2 rakan artis yang lain iaitu Misha Omar dan Amy Mastura. Ziana memegang watak sebagai ketua Obor-Obor yang jahat.[30]

Pada 2 April 2010, Ziana bakal mencuba satu lagi cabang bidang seni iaitu bidang pengacaraan. Ziana bakal menjadi pengacara untuk Parti Hip TV bergandingan dengan Iqram Dinzly. Seterusnya, beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Hip TV tersebut selama 13 episod.

Ziana juga menjadi mentor untuk program realiti Mentor 4 yang berlangsung mulai 11 April 2010. Pada mulanya, Ziana memilih Ketty Natalia Rasul (Thalia) dari sesi ujibakat sebagai protege, tetapi tiba-tiba menggugurkan Thalia atas sebab kekurangan persediaan mental dan fizikal serta tidak fokus, lalu menggantinya dengan Mohd Izwan Mohd Nor (Mohd)[31] Akhirnya, pada 4 Julai 2010, Mohd dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim itu, satu lagi kejayaan untuk Ziana Zain sebagai pembimbing artis baru.[32][33]

Filem terbaru lakonan beliau, Magika juga akan menjengah pawagam sekitar bulan September 2010.[34] Drama lakonan beliau yang berjudul Kasih di Jabal Rahmah juga bakal ditayangkan sempena Hari Raya Qurban ini.

Pada 18 Januari 2011, Ziana Zain telah bergabung tenaga bersama-sama dua orang supernova Malaysia iaitu Datuk Sharifah Aini dan Dato' Siti Nurhaliza di Anugerah Juara Lagu kali ke 25. Pada acara Penutup anugerah berprestij ini, Ziana Zain telah menyanyikan dua buah lagu hitnya iaitu Anggapanmu dan Madah Berhelah. Persembahan Ziana yang memukau itu telah melonjakkan namanya bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia kerana namanya tersenarai di dalam 10 tangga teratas "New World Trendy" di laman Twitter. Pujian bukan sahaja datang dari peminatnya sahaja, malah rakan-rakan artis turut kagum[perlu rujukan] dengan persembahan beliau ketika malam itu.

Ziana Zain membuat beberapa kenyataan kontroversi terhadap persatuan-persatuan artis Malaysia di mana beliau berkata penyertaan selebriti Malaysia di persatuan ini hanya membuang masa. Menurut beliau, persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Karyawan (Karyawan) dan Papita hanya menjaga kepentingan beberapa tempat terpilih dan oleh itu perlu dibubarkan.[35]

2014–kini: Imej baru dan Maharaja Lawak Mega 2016

Pada April 2014, Ziana mengumumkan konsert solo beliau, I Am Ziana Zain akan diadakan pada bulan September 2014. Konsert itu dijadual diadakan di kampung halaman beliau, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka. Ini akan menjadi konsert solo pertamanya selepas 15 tahun.[36] Malangnya, disebabkan "masalah dalaman penganjur" konsert itu dibatalkan.[37]

Pada 15 Julai 2014, Ziana melangkah keluar dengan berwajah baru, memakai hijab[38] penuh dengan kelulusan media dan peminat. Beliau juga mendedahkan dalam satu wawancara bahawa album akan datang beliau dalam proses penerbitan. Beliau bekerja dengan Faizal Tahir dan Awi Rafael untuk album baru.[38]

Pada 29 Januari 2016, kini Maharaja Lawak Mega 2016 sudah kembali dengan peserta yang baru ingin mencungkil lawak menjadi pelawak yang terhebat. Beliau menjadi Juri Tetap pada musim ini.

Rujukan

WikiPedia: Ziana Zain http://www.astroawani.com/berita-malaysia/hubungan... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/hubungan... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ap... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ap... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ju... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ju... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ju... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ju... http://www.brudirect.com/DailyInfo/News/Archive/Ma... http://www.budiey.com/mohd-ziana-zain-juara-mentor...